Monday, May 26, 2008

Meniti Ranjau ( Sinopsis Cerpen )

Zikri, anak watan Kampung Lintang mengambil keputusan untuk bekerja di Holiday Inn, sementara menunggu keputusan Sijil Penilaian Malaysia diumumkan. Dia bersyukur kerana keputusannya untuk bekerja di hotel tidak ditentang oleh ibu bapanya. Akhirnya, dengan restu ibu bapanya, Zikri mula bekerja sebagai pelayan, penyambut tetamu dan hotel boy secara bergilir – gilir di hotel tesebut. Di hotel itulah dia menggali pengetahuan, melihat masa depan dan peluang untuk bekerja. Dia selalu dikritik dan ditengking oleh bosnya, En. Thang. Walaubagaimanapun, Zikri tidak berputus asa tetapi bersifat optimis dan menerima segala kritikan sebagai pandangan yang membina. Pada suatu hari, Zikri dipanggil bekerja lebih masa (overtime) untuk mencukupkan pelayan majlis makan malam. Itu merupakan kali pertama dia melihat buah strawberi. Tanpa berfikir panjang, dia segera memasukkan beberapa buah strawberi ke dalam poket blazernya untuk diberikan kepada ibu bapanya. Ketika pulang selepas kerja, semua pekerja termasuk Zikri diperiksa oleh jaga. Dia dituduh mencuri dan diberhentikan kerja. Kejadian pahit itulah yang membentuk azamnya. Zikri melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam dan memberi penekanan kepada matapelajaran Ekonomi. Usahanya itu akhirnya membawanya ke gerbang menara gading. Dia berjaya menjawat jawatan pengurus di sebuah kelab dan tidak perlu ‘mencuri’ buah strawberi untuk ibu bapanya tetapi mempunyai pendapatan yang lebih dari mencukupi untuk membelinya.

No comments: